Friday, May 13, 2005

Mei 13, 1969

Tidak banyak cerita yang dapat diperolehi mengenai peristiwa 13 Mei ini. Secara peribadi saya percaya sejarah ini patut di pelajari oleh pelajar-pelajar sekarang supaya kita lebih memahami sejarah negara kita sendiri. Mungkin lebih baik jika perkara mengenai 13 Mei ini datang dari sumber yang boleh dikawal dibandingkan dengan sumber lain yang mungkin boleh memporak-perandakan keadaan. Keadaan hubungan kaum yang hanya nampak tenang di permukaan mungkin boleh direnggangkan kalau kita dapat mengkaji dan mengingati semula sejarah peristiwa ini. Berikut adalah informasi dari web site Polis Di Raja MAlaysia dan Wikipedia.

Foto:Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan sedang mengawal rusuhan di stadium Jalan Raja Muda

Kenapa berlakunya peristiwa 13 Mei?
Tunku Abd. Rahman telah menyalahkan komunis dan anasir-anasir kongsi gelap lain yang dikatakan bertanggungjawab berlakunya peristiwa tersebut. Bagaimanapun, Tun Dr. Ismail Menteri Dalam Negeri ketika itu mengatakan bahawa demokrasi telah mati di negara ini. Demokrasi mati di tangan parti-parti politik pembangkang yang telah mendorongkan meletusnya keganasan ini. Laporan Majlis Keselamatan Negara (9 Okt. 1969) berpendapat bahawa peristiwa ini terjadi akibat peranan yang di mainkan oleh Parti Komunis Malaya dan kongsi-kongsi gelap Cina di samping beberapa faktor yang lain. Walau apa pun sebabnya peristiwa 13 Mei merupakan satu krisis perkauman yang terbesar di negara ini, yang melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pertelingkahan itu memakan korban yang besar iaitu seramai 196 orang mati, dan 149 orang cedera.
Isu Perkauman Dalam Pilihan raya 1969
Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi perkauman dalam dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka. Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah hilang majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan, DAP dan PPP menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi. Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan dan DAP telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Foto:Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan sewaktu peristiwa 13 Mei 1969

Pembangkang meraikan kemenangan
Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.
Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu , Selangor. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Halan Hale dan menuju ke Kampung Baharu. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO , berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu , Dato' Harun Idris. Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan . Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu penyapu mempunyai konotasi yang negatif sial. Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Rumah Menteri Besar Selangor
UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969. Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur . Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan . Ketika berkumpul , cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan dan DAP tersebar dan meluap-luap. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak , hanya 2 km dari rumah Menteri Besar Selangor. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi , tombak dan lembing berparang di hujung. Rusuhan besar terjadi. Perintah darurat dikeluarkan, semua orang tidak boleh keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Regimen Renjer
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Regimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari Melayu, Iban, Cina, India dan lain-lain.Pemuda-pemuda Melayu yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Regimen Renjer.
Askar Melayu
Akhirnya Regimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil-alih oleh Askar Melayu.

Foto:Rumah dan kedai hangus dibakar oleh penunjuk perasaan semasa peristiwa 13 Mei

Panggung Odeon
Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon , di Jalan Tuanku Abdul Rahman , Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Iklan tersebut dalam bahasa Cina. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Khabar angin mengatakan tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan tentera selempang merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Ada 4 kiai di sekitar Kampung Baharu mengedarkan air jampi dan tangkal penebat iaitu ilmu kebal . Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang-terbang. Apa yang pasti Askar Melayu sahaja yang telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu. Namun rusuhan kaum tidak terjadi Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak , Kedah , Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit di Melaka. Di Betong ada tembakan oleh PKM.
Angka korban
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9143 ditahan . 211 kenderaan musnah. Tapi spekulasi mengatakan 700 orang mati terbunuh.
Dimana Tunku
Ketika itu (13 Mei 1969) , Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan beliau di sana . 6.45 petang Encik Mansor selalu Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman . Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969.

Foto: Kalau tak silap ini foto Ahli Mageran termasuk Tun Hanif Omar (berdiri: 4 dari kiri) dan Dato Sri Abdullah Badawi (berdiri:1 dari kiri)

Mageran
Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak . Parlimen dibubarkan. Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh orang Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Keadaan akhirnya dapat di kawal dan beberapa keputusan telah diambil bagi mencari jalan penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara telah diciptakan. Ternyata langkah Tunku Abdul Rahman penyingkiran Singapura dari Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri . Tahun 1969 pilihan raya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan yang memerintah . Barisan Nasional dibentuk. Beberapa politikus yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) . Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi , pilihan raya dan agihan kek ekonomi mendapat tafsiran semula.


Rujukan
Ramlah Adam 'Biografi Politik Tunku abdul Rahman Putra', DBP ,2004
Tunku Abdul Rahman Putra , '13 Mei - Sebelum dan Selepas'
Leon Camber ,' 13 May 1969 : A Historical Survey of Sino- Malay Relation, Heinemann Asia


source:http://ms.wikipedia.org/wiki/13_Mei , http://www.rmp.gov.my/rmp03/mei13.htm

No comments:

Post a Comment