Monday, June 08, 2015

PIMPINAN BARU PAS Oleh:Dr Riduan Mohammad Nor

Just to share the background of some of the current PAS leaders

PIMPINAN BARU PAS

Oleh:Dr Riduan Mohammad Nor 

Muktamar PAS Pusat tahun ini paling meriah dan memicu pelbagai sketsa politik dalam sejarah jatuh bangun PAS. Pemilihan kepimpinan juga menyorot perhatian media sehingga menenggelamkan isu rakyat yang sedang mengikat perut kejerihan.

Muktamar juga telah memilih barisan kepimpinan baru , juga dijadikan "beg pukul" bahawa PAS kini diwakili jalur konservatif, berwajah kampungan yang akan mengundurkan gerakan Islam ini 30 tahun kebelakang. Siapa dan apakah latarbelakang pimpinan baru PAS?

Dr Fadli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin attakiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales  UK.

Dr Nik Zawawi Nik Salleh bekas pensyarah KIAS, mempunyai MA daripada kampus Jordan juga PhD daripada UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Pengarah Kastam mempunyai MA dalam bidang pentadbiran Awam daripada UM. Haji Mohamad Nor Mohd mantan Pegawai Perancang bandar UDA yang bergraduan daripada UKM. Beliau tokoh masyarakat di Kuala Lumpur semenjak zaman pemudanya.

Ustaz Solihin Muhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa dizaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan  dan UM. Ustaz Dato' Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan. Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda dizamannya.

Sanusi Mohamad Nor bergraduan daripada USM merupakan mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Ustaz Norazli Musa, tokoh NGO misi bantuan tanpa sempadan yang menyantuni pelbagai peta luka umat Islam. Beliau bergraduan daripada Universiti Abu Bakar Pakistan, seterusnya di universiti Islam Indonesia.

Dr Ali Akhbar berdarah Pakistan, bergraduan daripada Universiti Malaya ,kampus premier tanahair kita. Beliau berdoktorat daripada UKM. Ustaz Abdullah Hussein ADUN dari Johor,tanah tembuni UMNO ditanam. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti al Azhar dan mendapat reputasi sebagai tokoh pendidikan di Johor.

Dr Rusni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan        daripada Universiti Malaya. Anak Johor ini mantan aktivitis pelajar dizaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Ustaz Nasruddin Hassan Ahli Parlimen Temerloh yang berprofil tinggi  dalam gerakerja jamaah. Beliau bermukim ilmu di bumi Syria dan Mesir, juga penulis prolifik di alam siber.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Haji Mazlan Aliman tokoh aktivis rakyat yang disegani. Beliau berjaya menjuarai isu-isu FELDA dengan cemerlang. Ustaz Zaharuddin Mohamad adalah calon doktorat Universiti Dundee Scotland. Tokoh muda ini adalah pakar perbankan Islam negara ini yang juga pakar rujuk ekonomi Islam.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UITM, calon doktorat universiti tempatan dan johan Pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM dizaman kampus.

Dato Nik Amar Nik Abdullah,bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi kelantan. Anak tokoh Pas ,Ustaz Nik Abdullah Arshad,beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM.
Dato Iskandar Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Timbalan Presiden pula adalah mantan pensyarah kanan UITM. Beliau mendapat MA Dakwah daripada UKM, sebelum menyambung ijazah PhD dipanggil bertanding di DUN Jengka. Dato Tuan Ibrahim menjadi ADUN Jengka pada tahun 1999 sehingga 2004.

Ayah Chik Tuan Guru Presiden ialah ilmuan yang diiktiraf dunia Islam yang telah mengarang hampir 100 buah buku.Naib Ketua Kesatuan ulama Dunia ini memperolehi kesarjanaan daripada Asia Barat, Madinah dan Mesir. Dr Shamsuri Mokhtar setiausaha politik Presiden ialah pakar aero angkasa Malaysia mendapat doktorat daripada Universiti Leeds UK.

Bersikap adillah teman,jangan menghukum tanpa mengenali potensi dan kompetensi qiadah baru kita. Berikan ruang untuk mereka buktikan keupayaan memacu harakatul ummah untuk sesi ini. Bercerminlah!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, pendakwah dan Perunding Motivasi)

No comments:

Post a Comment