Friday, August 22, 2008

Kontrak sosial - Malaysia

from http://ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_sosial_(Malaysia)

Syarat-syarat kontrak

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah "kontrak sosial" (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: "Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak." [1]

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.

Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar "meritokrasi". Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

No comments:

GoogleAd

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...