Sunday, August 07, 2011

SYARIAT< TAREKAT< HAKIKAT < MAKRIFAT

http://halaqah.net/v10/index.php?PHPSESSID=67gr2rrma4ik3i1v8j0aj4jin6&topic=5173.0


Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada
"progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia
bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan
hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu
bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib
beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal
haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu,
kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan
mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut
sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak
terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti
belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat
biji benih.

Tariqat .
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan
lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat
wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang
mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah
pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih
tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok
yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan
syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi
sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat
adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian
maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam
redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan
berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja
(sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang
berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat
dengan faham dan dihayati.

Makrifat .
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat
dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang
tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al
Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari
yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu
terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke
dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat
dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana
ia hanya melibatkan usaha lahir.

No comments:

GoogleAd

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...