"Pohon Maaf"
1. Baru-baru ini Kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri sibuk memohon maaf kepada orang Cina dan India kerana apa yang dikatakan kata-kata yang dianggap sebagai terlalu perkauman (racist) yang telah disebut oleh beberapa pemimpin Melayu.
2. Sebenarnya orang Melayu sekarang amat takut jika mereka diberi label "racist". Mereka menulis dalam akhbar yang orang Melayu bukan racist. Demikianlah ketakutan mereka sehingga apabila hak mereka di buruk-burukan dan diserang, mereka tidak berani mempertahankan diri mereka.
3. Malang bagi TPM dan Kerajaan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah memohon maaf secara terbuka permohonan maaf daripada pemimpin tertinggi Umno ditolak oleh pemimpin-pemimpin kaum berkenaan. Mereka menuntut supaya orang yang perkatakan perkataan yang dilabel "racist" sendiri memohon maaf.
4. Satu lagi peristiwa yang memalukan ialah apabila Kerajaan hantar seorang Menteri untuk minta maaf daripada Kerajaan Cina kerana kononnya wanita rakyat negara Cina telah ditelanjang oleh polis dan ini direkod dalam video.
5. Kemudian didapati wanita itu bukan rakyat negara Cina dan bukan pun Cina Malaysia. Dia adalah seorang perempuan Melayu.
6. Sebaliknya, apabila orang yang bukan Melayu mengeluar perkataan atau catitan yang boleh ditafsir sebagai racist, orang Melayu tidak pernah tuntut supaya pihak berkuasa memohon maaf.
7. Dalam Memo Hindraf ke Perdana Menteri UK banyak perkataan yang terlampau dan racist terdapat didalamnya. Contoh:
a) Kerajaan dikatakan dibantu oleh "Islamic Extremist violent armed terrorists" (orang Melayu)
b) Mereka berkata Kerajaan Malaysia melakukan "Ethnic Cleansing" iaitu Kerajaan sedang membunuh dan menghapuskan orang Tamil.
c) 100 orang keturunan India "ditetak dan dibunuh oleh Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO." Perbuatan ini kononnya adalah "mini genocide" (pembunuhan beramai-ramai mini)
d) Tiap tiga minggu kuil Hindu diroboh.
e) Kerajaan yang kononnya dikuasai oleh UMNO telah lancar serangan bersenjata dengan 600 anggota polis, polis simpanan, pelampau Islam dan pengganas (terrorist) bersenjata (orang Melayu).
f) Pegawai Bandaraya dan Polis dikatakan membaling batu dan menyerang orang Hindu dengan pisau, kayu dan batang besi. Kononya 20 orang Hindu mengalami cedera parah.
8. Tulisan dalam memo Hindraf ini bukan sahaja racist tetapi juga "seditious"(hasutan).
9. Seorang penuntut universiti Wee Meng Chee telah perlekehkan Negaraku dengan mengguna lagu Negaraku tetapi dengan lirik yang mempermainkan sembahyang dan azan orang Melayu (Islam). Azan dijadikan duet lagu cinta.
10. Apakah mereka dikehendaki memohon maaf? Apakah pemimpin mereka dikehendaki memohon maaf? Jauh sekali. Sebenarnya Wee dipertahan oleh pemimpin-pemimpin parti Cina dan anggota Hindraf dibebaskan daripada tahanan dan ada yang dengan bebasnya bertanding dalam pilihanraya dan menang menjadi wakil rakyat.
11. Mereka menuntut supaya tidak ada diskriminasi oleh Kerajaan. Tetapi nampaknya mereka bukan sahaja bebas malah mendapat kehormatan dengan dipanggil "Yang Berhormat" setelah berkata perkataan yang amat keterlaluan bahkan merupa hasutan.
12. Soalnya kenapakah Kerajaan berat sebelah, menyembunyi kata-kata racist Hindraf tetapi melapur dengan meluas apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu. Kenapakah Menteri keturunan India atau ketua-ketua kaum India tidak dikehendaki memohon maaf?
13. Sesungguhnya keadaan hubungan antara kaum bukan lebih baik hasil PRU 2008, tetapi ia menjadi amat buruk. Mungkin saya dituduh sebagai menyumbang kepada keadaan melalui tulisan saya. Tetapi pada saya amatlah tidak adil jika satu pihak dapat kebebasan sedangkan pihak yang ditohmah tidak boleh buka mulut.
http://test.chedet.com/che_det/2008/09/snippets-6.html
No comments:
Post a Comment