Sunday, September 26, 2010

in the news... Kenangan belajar di MCKK Oleh MOHD. AZLI ADLAN


 
26 September 2010

Kenangan belajar di MCKK




KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan institusi pendidikan ulung di bandar diraja Perak bukan sahaja sekolah berasrama penuh pertama negara, bahkan sistem pembelajarannya menjadi model kepada asas dasar pendidikan negara hari ini.
Dibina di atas tanah kurnia Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I seluas 16.2 hektar di Jalan Stesyen, Kuala Kangsar pada tahun 1905, sejarah MCKK banyak dirakam oleh bangunan asal sekolah itu yang kini dikenali sebagai Big School.
Bangunan yang bercirikan seni bina Greco-Roman itu dirasmikan pada tahun 1909. Lokasinya strategik, berhampiran Stesen Keretapi Kuala Kangsar dan Bukit Chandan yang menjadi lokasi pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Perak.
Di hadapan Big School terdapat sebuah padang yang menjadi tumpuan pelajar bermain tiga sukan teras kepada sekolah berprestasi tinggi itu iaitu ragbi, bola sepak dan kriket.
Di bahagian timur bangunan bersejarah itu pula terdapat sebatang pokok hutan hijau digelar Big Tree dan usianya lebih tua daripada Big School.
Sebelum wujudnya bangunan-bangunan lain di MCKK, Big School berfungsi sepenuhnya sebagai bangunan pentadbiran, kelas, dewan peperiksaan, asrama dan dewan makan.
Namun kini Big School berfungsi sebagai asrama bagi pelajar tingkatan empat dan lima sekolah terbabit.

MCKK pernah dijadikan hospital tentera pada Perang Dunia Kedua.


Murid tua MCKK, Tun Haniff Omar menyifatkan pembinaan Big School sebagai penunjuk aras kejayaan perkembangan pendidikan bumiputera di negara ini.
Haniff yang pernah menjadi Ketua Pengawas MCKK pada tahun 1956 berkata, MCKK tertubuh atas cadangan Pegawai Pendidikan Negeri Melayu Bersekutu, R.J. Wilkinson.
Idea itu mendapat sokongan pihak istana empat negeri Melayu iaitu Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I; Sultan Selangor, Sultan Alaiddin Sulaiman; Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
“Ketika itu, orang-orang Melayu belajar setakat darjah enam sahaja. Jika mahu melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, mereka perlu ke sekolah Inggeris,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mencungkil bakat pelajar
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK itu memberitahu, tiga sekolah Inggeris yang wujud di Malaya (Malaysia) pada masa itu ialah Penang Free School, Pulau Pinang; Central School, Taiping; Perak (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, Taiping dan Government English School, Kuala Kangsar (kini SM Clifford).
Begitupun menurutnya, kurang sepuluh peratus pelajar Melayu berada di sekolah-sekolah Inggeris kerana tidak diberi peluang, selain faktor kemiskinan dan agama.
“Bekas pengetua Penang Free School ke-10, W. Hargreaves dilantik menjadi pengetua pertama MCKK dengan pengambilan sulung seramai 40 orang pelajar.
HARI ini semua anak-anak Melayu berpeluang menuntut ilmu di MCKK tanpa mengira darjat dan status.


“Kejayaan beliau mencungkil bakat pelajar Melayu telah membawa kepada pembinaan bangunan kekal MCKK iaitu dua tahun selepas penubuhannya dan dirasmikan pada 1909 oleh Sultan Idris I,” katanya.
Haniff memberitahu, bangunan itu kemudiannya dikenali sebagai Big School selepas pembinaan sebuah lagi bangunan sekolah iaitu Prep School kira-kira tiga tahun kemudian.
Beliau berkata, Hargreaves juga bertanggungjawab menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah Inggeris bermula dengan Penang Free School. Dengan memperkenal Special Malay Class bagi membuka ruang kepada pelajar bumiputera dari sekolah Melayu mendapat pendidikan lebih tinggi.
Bekas Ketua Polis Negara ke-empat itu berkata, pada mulanya, MCKK adalah institusi pendidikan untuk golongan elit Melayu khasnya kerabat diraja untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.
Namun selepas kebangkitan nasionalisme Melayu pada tahun 1947, syarat kemasukan dilonggarkan. Anak-anak Melayu yang berpotensi tanpa mengira darjat dan status berpeluang belajar di MCKK daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Kehidupan remaja
Mengimbas kenangan Haniff semasa menuntut di MCKK, Big School telah menyaksikan ramai pemerintah, pembesar, pemimpin dan tokoh korporat terkemuka negara membesar dan melalui kehidupan remaja mereka.
Antaranya termasuklah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor ketujuh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan anakandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Sultan Selangor kelapan.
Termasuk dalam senarai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein; Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar; Yang Dipertua Melaka, Tun Khalil Yaakob; Menteri Besar Perak pertama, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz dan Sultan Brunei ke-28, Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III.

WAJAH Kolej Melayu Kuala Kangsar sekitar tahun 1950-an.


Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah; perunding motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan bekas Pengerusi DRB-Hicom, Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad adalah bekas pelajar MCKK.
“Di Big Schoollah tempat kami belajar, mandi, tidur dan bermain. Boleh dikatakan keperibadian kami banyak terbentuk di Big School.
“Sebenarnya beberapa pelajar asal MCKK seperti Datuk Onn dihantar ke Big School bukan untuk belajar bahasa Inggeris tetapi untuk dibentuk menjadi Melayu semula,” katanya.
Haniff memberitahu, generasi awal MCKK turut didedahkan dengan buku-buku kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dalam tulisan Jawi bagi mengenal dan membina jati diri Melayu di kalangan mereka.
MCKK juga mendahului dalam pengajian agama dengan menjadi sekolah terawal yang menyediakan silibus pendidikan Islam secara formal.
Sukan dan debat
“Guru-guru yang mengajar di sini bukan calang-calang. Antaranya Pendita Zaaba (Zainal Abidin Ahmad) dan pengubah muzik dan novelis terkemuka, Anthony Burgess,” katanya.
MCKK juga cemerlang dalam bidang sukan dan debat. Selain padang utama di hadapan Big School, sekolah tersebut mempunyai dua padang lain iaitu padang hoki dan padang serbaguna.
Menurut Penolong Kanan (Pentadbiran) MCKK, Safuan Rabaai pula, semua pelajar dibahagikan kepada empat rumah sukan yang dinamakan sempena nama penaung asal iaitu Rumah Sulaiman, Ahmad, Mohd. Shah dan Idris.
Beliau berkata, sehingga kini MCKK masih mempunyai reputasi tinggi dalam beberapa disiplin sukan terutamanya ragbi dan kriket.
Sejak tahun 1960, sekolah tersebut mengadakan perlawanan ragbi tahunan menentang Kolej Vajiravudh iaitu sebuah sekolah elit di Bangkok, Thailand.
Perlawanan tersebut diadakan di Bangkok pada tahun genap dan di Kuala Kangsar pada tahun ganjil.

No comments:

GoogleAd

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...